Sunday, September 12, 2010

pejam celik

Bak kate orang-orang tua yang belum nyanyuk seperti atok aku "Pejam celik-pejam celik,dah dua hari raya".Aku pun merasakan masa terlalu pantas berputar.Ramadhan pergi pon begitu cepat tatkala aku sendiri mencari-cari ruang beribadat dan mengenal Ramadhan di saat-saat akhir. Seperti komentar rakan-rakan yang lain,aku juga kurang merasakan kemeriahan Syawal. Mungkin benar kata orang kemeriahan itu milik kanak-kanak.

Aku tiba di Masjid Uniten sekitar jam 8.30 pagi dan kedengaran Al-Fatihah sudah mula dibaca. Termengah-mengah aku mengangkat takbir.Selesai solat, aku ke Precint 14 untuk melakukan sessi penggambaran video eksklusif hari raya.Sampai hari ini aku sendiri tak dapat melihat video tersebut. Tanpa berlengah aku terus ke Tanah Perkuburan Kampung Dato' Abu Bakar Baginda untuk menziarahi pusara ayahku. Sayu hati melihat ibuku menangis tanpa ku ketahui apa yang bermain di fikirannya. Merah tanah kubur disirami air dan aku berlalu sambil mengenang beberapa perkara.

Aku kemudiannya terus ke rumah bapa saudara yang tertua dalam famili aku. Beliau merupakan ketua kampung di situ dan tidak dapat tidak terpaksa melayan rombongan warga kampung seawal pagi raya. Sesudah selesai santap lauk pauk raya yang standard, aku dan famili terus ke Putrajaya untuk mengambil barang dari rakanku dan seterusnya ke Pullman untuk bergambar. Tak sangka penuh juga tempat ini. Tak kurang 10 famili yang bergambar di tempat yang sama.AKu pun melayan karenah adik-beradikku yang teruja untuk bergambar. Masuk waktu Zuhur aku terus ke Masjid Putrajaya untuk menunaikan solat Jumaat bersama-sama Perdana Menteri. Aku haram tak nampak kelibatnya kerana aku jauh di belakang. Tak sempat bersalam pun.

Dengan mata separuh terbuka aku gagahkan diri ke Batu 5 Bangi,iaitu kampungku. Walaupun atuk sudah tiada dan nenek teruk dihentam strok,aku masih merasakan aku perlu ke sana tiap-tiap tahun sampai mati. Inilah tempat aku bermain dan mengenal dunia sewaktu kecil selain dari Bandar Kuala Lumpur. Ramai pakcik-pakcikku yang tidak beraya disini pada tahun ini kerana beraya di rumah mentua.13 orang adik beradik ayahku. Bila ramai tak pulang,rasa kosong.Tapi rendang ku bedal jua.Walaupun kapasiti perut sudah melebihi Factor of safety yang dibenarkan.

Aku yang akur tak dapat duit raya dari ibuku

Mata semakin mengantuk.Sampin masih terikat kemas.Songkok masih di kepala. Aku fikir aku orang melayu.Ini persiapanku.Menziarahi keluarga tuntutan agamaku.Aku teruskan perjalanan ke Wangsa Maju,Kuala Lumpur iaitu rumah atuk dan nenek sebelah mak. Sebagai cucu yang paling sulung dan paling manja,ini saat yang ku nanti untuk bertemu atuk dan menyedut asap bersama.HAHAHAHAHA.Dan kini aku masih disini sampai hari raya ke-4 kerana banyak rumah saudara mara yang hendak dikunjungi. Aku mengikut saja.Aku akan terus beraya dengan baju melayu dan songkok. Kerana kalau bukan aku,siapa lagi mau sarung persalinan itu?Ah Chong?Ramasamy?Kuldeep?atau Kitingan?

No comments:

Post a Comment